Ahad, 21 April 2019

KISAH HATIKU PT 2

Bertahun berlalu, aku kini sudah pun menjejakkan kaki ke alam universiti. Belajar mencapai impianku, belajar mengenal erti hidup seorang mahasiswa. Mencuba mencapai impianku meskipun berlainan dengan bidang yang aku pelajari kini. Namun aku tetap mencuba. Mencari pengalaman baru, tanpa perlu berfikir tentang hati dan perasaan. Rutin seharianku memang padat dengan jadual belajar dan bisnes online yang sedangku lakukan. Meskipun bisnesku tidak berjalan dengan lancar, namun aku tetap mencuba. Dengan harapan aku bakal menjadi seorang jutawan online.

Semuanya nampak indah bagiku. Semuanya berjalan dengan lancar. Aku tidak perlu risau apa pun. Aku bebas minat sesiapa sahaja. Aku bebas  menyukai sesiapa sahaja yang aku suka. Cumanya aku tidak akan meluahkannya. Kerana aku tahu itu sekadar suka-suka. Jadi dengan itu aku tidak perlu bimbang sakit hati lagi. Aku tidak perlu berasa sakit lagi kerana seorang lelaki.

Namun entah kenapa, suatu hari aku terserempak dengannya. Dengan lelaki yang konon dulunya aku suka. Dia nampak bahagia. Bersama sang kekasih yang amat cantik. Dia tidak kenal aku, oleh itu aku terasa sangat bersyukur. Namun entah kenapa hatiku bagai disiat-siat. Entah kenapa hatiku terasa sakit yang amat. Seperti di cucuk dan di tikam bertubi-tubi. Hatiku sakit. Perasaan yang dulunya hilang, yang dulu aku bersusah payah cuba untuk lenyapkan, kini kembali. Namun dalam keadaan sang pemilik hati sudah berpunya.

Aku keliru. Sama ada cinta atau sekadar suka. Namun hatiku berbunga setiap kali menatap gambarnya di media sosial yang secara tak sengaja aku terlihat. Bagiku dia masih sama seperti dulu. Kacak, tinggi, baik namun dalam masa yang sama ada sikit sombongnya. Sangat berketerampilan. Memenuhi cita rasa hatiku.

Rakan-rakanku pernah berkata, mungkin kerana aku tidak pernah berjumpa dengan mana-mana lelaki selainnya yang menyebabkan aku masih suka padanya. Ada juga yang berkata mungkin aku tak pernah benar-benar merasa jatuh cinta. Sehingga ada yang cuba mengajakku blind date. hahaha...

Sehingga kini, aku masih tidak dapat lupakannya. Walaupun berkali-kali aku mencuba, namun aku masih memikirkan tentangnya. Sebenarnya, separuh hatiku masih berharap agar satu hari nanti dia jatuh cinta padaku. Namun separuh lagi hatiku tidak berharap. Kerana aku tahu, dia bahagia dengan insan lain. Dan insan lain itu bukanlah aku.

KISAH HATIKU

Assalamualaikum, duhai hatiku...

Hari ni aku nak buat sesi luahan sikit. Luahan hati yang sepatutnya aku pendam sedalamnya, tapi aku tetap nak luahkan juga. Aku pilih untuk luah di Luahan Kata ni sebabnya aku tahu yang si dia mungkin takkan baca. Tak, dia memang tak akan baca, aku yakin tu.

Sebenarnya, aku jatuh suka pada seseorang. siapa? Nama dia biarlah rahsia. Perasaan ini tak pernah aku rasakan dulu. Walaupun aku akui, yang aku pernah jatuh cinta dahulu, tapi tidak sekuat ini.

Aku dah lama pendam perasaan ni. Ianya hadir tanpa kuduga di saat umurku masih mentah, iaitu di zaman sekolah menengah rendah ku. Pada mulanya aku hanya beranggapan ianya sekadar cinta monyet, cinta yang sekadar untuk main-main. Yelah, waktu itu adalah waktu remajaku. Sudah tentu aku ingin bercinta.

Aku pendam waktu tu, mengatakan yang aku tak akan suka dia, walhal semua tingkah lakunya aku tahu. Makanan kegemarannya, hobi dia, cita2 dan sebaginya. Malah aku selalu memerhatikannya. Semua yang dia lakukan, semuanya akan aku ketahui.

Sampai lah satu masa, aku tidak dapat lagi pendam perasaan ini, seperti hari ini. Aku luahkan perasaanku padanya. Disitulah dapat dilihat betapa bodohnya aku. Bukan berani, tetapi sengaja mencipta jurang malu sendiri. tentu sekali dia menolakku. Almaklumlah aku ini bukannya cantik persis Dato' Siti Nurhaliza. Sekadar pipit yang cuba berimpian menjadi merak kayangan.

Hatiku retak. Apabila cinta pertamaku ditolak, sememangnya sakit. sangat sakit sehingga aku rasakan bahawa dunia ini terlalu kejam buatku.Menangis usah dikata. Air mata ku kering jadinya. Tetapi aku redha. Dia bukanlah ditakdirkan untukku. Aku membawa diri. Berpindah ke terengganu merupakan keputusanku supaya aku dapat melupakannya. Supaya bayangannya hilang dari wajahku, hilang dari duniaku...