Ahad, 21 April 2019

KISAH HATIKU PT 2

Bertahun berlalu, aku kini sudah pun menjejakkan kaki ke alam universiti. Belajar mencapai impianku, belajar mengenal erti hidup seorang mahasiswa. Mencuba mencapai impianku meskipun berlainan dengan bidang yang aku pelajari kini. Namun aku tetap mencuba. Mencari pengalaman baru, tanpa perlu berfikir tentang hati dan perasaan. Rutin seharianku memang padat dengan jadual belajar dan bisnes online yang sedangku lakukan. Meskipun bisnesku tidak berjalan dengan lancar, namun aku tetap mencuba. Dengan harapan aku bakal menjadi seorang jutawan online.

Semuanya nampak indah bagiku. Semuanya berjalan dengan lancar. Aku tidak perlu risau apa pun. Aku bebas minat sesiapa sahaja. Aku bebas  menyukai sesiapa sahaja yang aku suka. Cumanya aku tidak akan meluahkannya. Kerana aku tahu itu sekadar suka-suka. Jadi dengan itu aku tidak perlu bimbang sakit hati lagi. Aku tidak perlu berasa sakit lagi kerana seorang lelaki.

Namun entah kenapa, suatu hari aku terserempak dengannya. Dengan lelaki yang konon dulunya aku suka. Dia nampak bahagia. Bersama sang kekasih yang amat cantik. Dia tidak kenal aku, oleh itu aku terasa sangat bersyukur. Namun entah kenapa hatiku bagai disiat-siat. Entah kenapa hatiku terasa sakit yang amat. Seperti di cucuk dan di tikam bertubi-tubi. Hatiku sakit. Perasaan yang dulunya hilang, yang dulu aku bersusah payah cuba untuk lenyapkan, kini kembali. Namun dalam keadaan sang pemilik hati sudah berpunya.

Aku keliru. Sama ada cinta atau sekadar suka. Namun hatiku berbunga setiap kali menatap gambarnya di media sosial yang secara tak sengaja aku terlihat. Bagiku dia masih sama seperti dulu. Kacak, tinggi, baik namun dalam masa yang sama ada sikit sombongnya. Sangat berketerampilan. Memenuhi cita rasa hatiku.

Rakan-rakanku pernah berkata, mungkin kerana aku tidak pernah berjumpa dengan mana-mana lelaki selainnya yang menyebabkan aku masih suka padanya. Ada juga yang berkata mungkin aku tak pernah benar-benar merasa jatuh cinta. Sehingga ada yang cuba mengajakku blind date. hahaha...

Sehingga kini, aku masih tidak dapat lupakannya. Walaupun berkali-kali aku mencuba, namun aku masih memikirkan tentangnya. Sebenarnya, separuh hatiku masih berharap agar satu hari nanti dia jatuh cinta padaku. Namun separuh lagi hatiku tidak berharap. Kerana aku tahu, dia bahagia dengan insan lain. Dan insan lain itu bukanlah aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan